fb fb fb fb fb

5,148 asnaf di Perlis terima manfaat saringan kesihatan percuma

Saringan kesihatan percuma di perkarangan Masjid Darussalam Padang Keria pada 6 Disember 2023/ FB Wellness Hub Perlis

KANGAR, 3 Januari- Seramai 5,148 asnaf terpilih di negeri ini menerima manfaat saringan kesihatan percuma menerusi Pakej Kesihatan dan Kayuhan MAIPs Peduli yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis (JKNPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sepanjang tahun lepas.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ismuni Bohari berkata pakej kesihatan itu melibatkan fasa pertama iaitu perkhidmatan saringan kesihatan dan ceramah kesihatan, sementara fasa kedua melibatkan tambahan perkhidmatan saringan kesihatan mulut.

“Setiap asnaf yang telah dikenal pasti oleh pihak MAIPs melalui amil kariah akan berkumpul di masjid ditetapkan dan melalui persetujuan bersama pihak MAIPs, pakej saringan kesihatan dan ceramah kesihatan itu dijadikan pakej wajib untuk semua asnaf tersebut sebelum penyaluran bantuan kewangan,” katanya menerusi kenyataan malam tadi .

Jelasnya kerjasama itu merupakan cetusan idea Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang disesuaikan dengan hala tuju baharu JKNPs dalam mempertingkatkan saringan kesihatan selari dengan aspirasi Kertas Putih Kesihatan ke arah ‘Penjagaan Kesihatan Untuk Komuniti'. 

Ujar Dr Ismuni ia juga selari dengan moto merakyatkan perkhidmatan kepada warga Perlis dalam menjadikan kesihatan sebagai tanggungjawab bersama menerusi Program Sihat Milik Semua.
 

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI