KUALA LUMPUR, 24 Mac- Seramai 5,000 perantau anak kelahiran Pahang yang berada di luar negeri itu, menerima baucar pembelian petrol atau diesel bernilai RM50 menerusi program ‘Moh Balik Raya ke Pahang 2025’.
Menteri Besar Pahang ,Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program yang memasuki tahun kedua penganjuran itu bertujuan menggalakkan anak Pahang pulang menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
"Ini satu platform yang sangat baik terutamanya bagi Kerajaan Negeri Pahang kerana kita dapat memberitahu secara terus pada anak-anak Pahang berhubung dengan perkembangan semasa di negeri Pahang dan dapat menjelaskan kepada mereka apa perkembangan terkini di negeri Pahang", katanya.
Beliau berkata demikian pada program penyerahan baucar berkenaan, di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Sekretariat Perantau Anak Pahang (MAHASISWA) Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.