KUALA LUMPUR, 17 Julai- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memulakan misi membawa pulang kapal Ex-United States Coast Guard Cutter (Ex-USCGC) Steadfast dari Amerika Syarikat (AS), yang dijadualkan tiba di Malaysia pada November ini.
Seramai 46 anggota penguat kuasa Maritim Malaysia akan berlepas ke Baltimore, AS esok bagi menjalankan misi tersebut.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dalam kenyataan berkata pasukan tersebut merupakan kru pertama bagi kapal berkenaan yang bakal menjadi aset baharu agensi itu.
Usaha itu sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara khususnya di perairan Laut China Selatan.
"Misi ini bukan sekadar pelayaran biasa. Ia simbol pengiktirafan antarabangsa kepada keupayaan dan profesionalisme Maritim Malaysia.
Jaga nama baik negara, kekalkan integriti dan tunjukkan disiplin tinggi sepanjang anda semua berada di sana," tegas beliau
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas kelulusan dalam proses penerimaan kapal tersebut daripada pihak US Coast Guard.
Kapal EX-USCG Cutter Steadfast memiliki saiz 64.14 meter panjang dan 10 meter lebar serta mampu mencapai kelajuan hingga 18 knots.