fb fb fb fb fb

456 petugas JKM Negeri Sembilan siap siaga hadapi MTL

FOTO RTM

SEREMBAN, 30 Disember- Seramai 456 orang petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang berlaku di seluruh negara.

Menurut Pengarah JKM, Rosnah Sardi, jumlah tersebut merangkumi 286 orang kakitangan dan lapan orang kaunselor JKM, 26 orang ahli Psychological Support Team (PST)  serta 154 orang sukarelawan kebajikan dengan kerjasama Pejabat Daerah selaku agensi utama dalam pengurusan bencana di daerah terlibat dan jabatan penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Pada 8 dan juga 9 September yang lalu, kita sudah membuat satu simulasi bencana di pusat pemindahan dan juga simulasi menyelamat bagi mangsa-mangsa. Kita buat di Dewan Besar Gemas, Tampin melibatkan seluruh  negeri bersama-sama agensi seperti APM, PDRM, Bomba.kita juga panggil Pejabat Daerah yang merupakan agensi utama dalam pengurusan bencana untuk hadir dalam simulasi tersebut.

"Dalam pada sama juga, kita juga membuat satu taklimat kepada sukarelawan dan juga ahli komuniti seluruh di negeri, di sekolah-sekolah di PPS, untuk kita berikan input yang terbaru berkaitan dengan kesiap siagaan bencana", kata Rosnah yang ditemui pemberita pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat di Wisma Negeri di sini.

Menurutnya lagi, seluruh stor daerah JKM Negeri Sembilan juga telah dibekalkan barangan bencana seperti toto, tikar, bantal, pakaian dan kit kebersihan diri  bagi kegunaan penduduk yang terjejas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)

Dalam pada itu, Rosnah turut memaklumkan negeri berkenaan telah bersedia bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut.

Menurut Rosnah, 221 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang mampu menampung kira-kira 68,860 orang pada satu satu masa akan dibuka sekiranya diperlukan.

Tambahnya, pihaknya kini bersiap siaga dan telah menerima 3,000 pek makanan retort untuk dibekalkan ke setiap PPS yang dibuka.

"Untuk makluman, kita juga ada 35 PPS yang masih aktif dan boleh menempatkan 7,290 mangsa terjejas.

"Kita sudah bersedia bersama Pejabat Daerah. Mereka telah memperbaiki mana-mana fasiliti yang rosak dan kita bersedia menerima mangsa-mangsa bencana itu nanti", kata Rosnah.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD