fb fb fb fb fb

45 pelajar cemerlang SPM 2022 terima Anugerah YTSP Perlis

KANGAR, 7 Julai- Seramai 45 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Perlis menerima Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bagi menghargai pencapaian mereka.  
 
Daripada jumlah tersebut, empat orang merupakan penerima Anugerah Cemerlang, sembilan penerima Anugerah Kepujian dan 32 lagi merupakan penerima Anugerah Khas YTSP.

Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus berkata, pengiktirafan tersebut merupakan galakan kepada pelajar untuk terus mengekalkan momentum cemerlang dalam bidang akademik.

Pada masa sama, ia menjadi contoh serta motivasi kepada pelajar lain supaya berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran.  


(Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallullail 
bersama-sama penerima Anugerah YTSP Perlis/ SUK Perlis)

"Anugerah ini mula diperkenalkan pada 1991 kerana pada ketika itu saya memikirkan bahawa pelajar- pelajar kita ni masing-masing yang cemerlang berhajat melanjutkan pelajaran di sekolah asrama penuh.

"Tetapi tidak semua yang boleh ada peluang terutama sekali pada mereka yang tidak melebihi kecemerlangan dari peringkat pertengahan. Jadi untuk memberi galakan kepada pelajar yang tidak boleh masuk ke sekolah berasrama penuh ini, mereka juga boleh mencapai kejayaan yang cemerlang jika mereka beri tumpuan khusus secara serius dalam mata pelajaran mereka", katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pengurniaan Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang berlangsung di Kangar, Perlis.  

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallullail merangkap Pengerusi YTSP Perlis berkenan berangkat mengurniakan anugerah berkenaan. 

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama (Perempuan) Alawiyah Kangar, Ainin Maisarah Zahide, gembira menerima Anugerah Cemerlang YTSP.

"Saya rasa gembira, bukan semua orang boleh dapat anugerah ini. Saya rasa gembira sebab boleh banggakan mak ayah dan banggakan sekolah", katanya.

Sehingga kini, seramai 261 pelajar telah menerima Anugerah YTSP Perlis yang mula diperkenalkan sejak tahun 1991 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri.

Media Baharu