fb fb fb fb fb

45 geran penyelidikan bernilai RM500,000 tersedia buat golongan asnaf di Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada Simposium Pendidikan Eksklusif Era Digitalisasi (SPEED) di sini.

KANGAR, 2 November- Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCOEE) memperuntukkan sebanyak 45 geran penyelidikan bernilai RM500,000 untuk golongan asnaf di Perlis.

Geran berkenaan bagi melaksanakan penyelidikan meliputi pelbagai bidang, seperti akademik, sahsiah, sosial dan infrastruktur.

Menurut Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCOEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin, fasa pertama, 15 geran bernilai RM200,000 telah diberikan kepada tiga institusi iaitu Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Manakala bagi fasa kedua kepada 30 penyelidik berjumlah, RM300,000 akan diberikan pada awal tahun depan dengan melibatkan penyelidik daripada pelbagai pusat pengajian tinggi seluruh negara.

"Dengan adanya data-data yang konkrit, data-data yang boleh menjadi berkualiti ini, kita dapat membangunkan asnaf ini, bukan sahaja dari segi, saya rasa atau pun saya fikir tetapi berlandaskan kepada penyelidikan-penyelidikan yang kita laksanakan, dapat menghasilkan data-data yang berkualiti dalam membangunkan asnaf," katanya.

Beliau ditemui pada Simposium Pendidikan Eksklusif Era Digitalisasi (SPEED) di sini, yang dianjurkan FCOEE dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Dalam pada itu, peruntukan geran tersebut turut menerima respon positif dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS).

"Kajian-kajian yang dilaksanakan FCOEE untuk kali ini sangat relevan dengan MAIPs apatah lagi banyak menyentuh tentang isu-isu anak asnaf dan juga keperluan Ketua Pegawai Eksekutif tindakan bersama antara MAIPs dan juga agensi-agensi berkaitan. Jadi kami lihat apa yang dibuat oleh FCOEE untuk kali ini Insya-Allah dapat dijadikan sebagai garis panduan selain dapat dijadikan hala tuju bagi sasaran tindakan serta bantuan yang akan dilaksanakan oleh pihak MAIPs," kata Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam pada itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar geran penyelidikan tersebut, memberi impak positif kepada golongan asnaf.

"Dapatan ini wajar dimanfaatkan sebaiknya melalui tindakan intervensi dan langkah pembetulan. Rancangan tindakan ini tidak terhad kepada organisasi pendidikan sahaja, tapi turut menjadi kemestian kepada jabatan-jabatan lain yang terlibat terus dengan masyarakat. Semoga perkongsian simposium hari ini mendapat perhatian semua pihak dan besar harapan saya agar penyelidikan ini dapat dikembangkan lagi untuk meneroka segenap masyarakat dan isu-isu pendidikan. Semoga hasil-hasil penyelidikan ini dapat menjurus kepada kelangsungan inisiatif berimpak kepada pembangunan masyarakat,"titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU), antara Dewan Bahasa dan Pustaka, dengan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin.

MOU tersebut menyentuh kerjasama penghasilan bahan penerbitan dan program berkaitan pendidikan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI