
KANGAR, 12 Januari – Sesi persekolahan baharu bagi tahun 2026 di Perlis melibatkan 104 buah sekolah rendah dan menengah, dengan seramai 44,718 pelajar memulakan sesi persekolahan hari ini.
- 104 sekolah rendah dan menengah di Perlis memulakan sesi persekolahan tahun 2026.
- Jumlah pelajar yang memulakan sesi adalah 44,718, termasuk 24,054 rendah dan 20,664 menengah.
- Tahun Satu: 3,705 pelajar di 74 sekolah rendah; Tingkatan Satu: 3,923 pelajar di 30 sekolah menengah.
- Program "First Day At School" disambut meriah dengan kehadiran pihak JPN, PDRM dan pimpinan pendidikan negeri.
Daripada jumlah itu, 24,054 merupakan pelajar sekolah rendah dan 20,664 pelajar di sekolah menengah.
Bagi kemasukan Tahun Satu, seramai 3,705 pelajar ditempatkan di 74 buah sekolah rendah, manakala Tingkatan Satu melibatkan 3,923 pelajar di 30 buah sekolah menengah.
Tinjauan RTM di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ali Ahmad mendapati operasi pembukaan sekolah berjalan lancar dan teratur dengan kehadiran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keselamatan pelajar.
Sesi persekolahan hari ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr Rusmini Ku Ahmad; Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim; Pengarah Pendidikan Negeri, Rose Aza Che Ariffin; serta pengurusan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pihak sekolah yang menyambut pelajar di pintu masuk utama.
Dr Rusmini Ku Ahmad berkata, program First Day At School di Perlis memberikan semangat kepada pelajar untuk hadir ke sekolah.
“Pada pagi ini, dengan penuh semangat, guru serta murid berada di pintu pagar untuk menyambut pelajar, begitu juga dengan pengerusi PIBG dan pihak PDRM,” katanya ketika ditemui media selepas tinjauan di SMK Datuk Ali Ahmad.