MARAN, 11 Disember - Seramai 44 penduduk terjejas akibat banjir di daerah Maran dan Jerantut telah dipindahkan ke tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pukul 11 malam tadi.
Menurut Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Jerantut mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 40 orang ditempatkan di dua PPS, iaitu di PPS SK Teh dan PPS Tebing Tinggi.
Sementara itu, di daerah Maran, empat penduduk dipindahkan ke PPS Bangunan Bengkel Wanita Kampung Bak-Bak.
Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai utama di Pahang masih berada pada aras bahaya.
Antaranya melibatkan Sungai Pahang di Kuala Tembeling dan Sungai Pahang di Jerantut Feri di Jerantut, serta Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran.