41 nelayan Kuala Perlis terima bantuan LKIM berjumlah RM50,750

Foto Facebook Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia

KUALA PERLIS, 31 Januari – Seramai 41 nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Perlis menerima bantuan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berjumlah RM50,750.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan LKIM bernilai RM50,750 diagihkan kepada 41 nelayan PNK Kuala Perlis.
  • Pemberian meliputi enjin sangkut, pukat, tong ikan berinsulasi dan bakul makanan untuk meringankan beban.
  • Program ini dijalankan di bawah Program Peningkatan Pendapatan serta Insentif/Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touchpoint) LKIM.

Bantuan yang disalurkan merangkumi sebuah enjin sangkut berkuasa 30 kuasa kuda kepada seorang penerima, pukat bersama kelengkapan serta tong ikan berinsulasi kepada 30 penerima, manakala 10 nelayan menerima bantuan bakul makanan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil memaklumkan pemberian bantuan enjin sangkut, pukat, kelengkapan dan tong ikan berinsulasi itu bertujuan membantu nelayan yang berdepan masalah kerosakan serta keuzuran peralatan dalam menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

Menurut beliau, bantuan tersebut bukan sahaja meringankan beban nelayan terlibat, malah berupaya meningkatkan pendapatan mereka menerusi penyediaan peralatan yang lebih baik dan efisien.

Beliau berkata, pemberian bantuan itu dilaksanakan di bawah Program Peningkatan Pendapatan serta Insentif/Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touchpoint) LKIM.

Selain itu, bantuan bakul makanan turut disalurkan bagi membantu nelayan meringankan beban perbelanjaan harian.

Muhammad Faiz Fadzil berkata demikian pada majlis penyerahan bantuan kepada nelayan di Kompleks Perikanan LKIM Kuala Perlis, di sini.

Turut hadir pada program berkenaan ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LKIM, Dr. Haji Abdul Salim Tajudin; Pengarah LKIM Negeri Perlis, Fairuz Ariffin; Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Perlis (PELARIS), Jasni Hashim; Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Perlis, Asri Jab serta Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Perlis Selatan, Abu Bakar Saad.