MELAKA, 4 Mac - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mengeluarkan 36 notis dan 14 kompaun terhadap 41 hotel serta dua kilang ais dalam operasi pemeriksaan kebersihan yang dijalankan dari 17 Februari hingga 3 Mac lalu.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem, berkata jumlah kompaun yang dikenakan terhadap premis tersebut adalah RM6,950.00
"Premis yang didapati kotor telah diarahkan tutup sementara. Jika mereka mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan dalam tempoh 72 jam, kita akan melakukan pemeriksaan semula dan membenarkan operasi diteruskan," katanya ketika menghadiri Peluncuran Kempen "Perhati Dan Pilih" Pasar Ramadan di Peringgit di sini hari ini.
Kesemua premis tersebut dikenakan kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan 2009.
Selain itu, dalam Operasi Ramadan, 76 penjaja telah diperiksa setakat hari kedua Ramadan bagi memastikan tahap kebersihan makanan di bazar berada pada standard yang ditetapkan.