400,000 pertubuhan perniagaan dinilai dalam fasa pertama Banci Ekonomi 2026

Foto DOSM

KEMAMAN, 15 Mac – Sebanyak 400,000 pertubuhan perniagaan berdaftar berjaya dikenal pasti di seluruh negara dalam fasa pertama Pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) melibatkan sektor informal dan mikro bermula 5 Januari hingga semalam (Sabtu).

RINGKASAN BERITA AI
  • BE2026 buat julung kali melibatkan sektor informal termasuk penjaja, kedai runcit kecil, pengusaha teksi, homestay dan perniagaan mikro bergerak.
  • Fasa kedua BE2026 melibatkan PMKS (1 Mac hingga 30 Jun); fasa ketiga pertubuhan sederhana dan besar (1 Jun hingga 31 Oktober).
  • Dapatan BE2026 akan menjadi input utama kepada dasar termasuk RMK13, NIMP 2030, agenda Ekonomi Digital, IR4.0 serta pemerkasaan PMKS; 10,000 petugas dilantik.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pelaksanaan BE2026 fasa pertama yang berakhir 28 Februari lepas memberi tumpuan kepada pengumpulan data perusahaan kecil termasuk peniaga yang menggunakan teknologi digital dan platform jualan dalam talian dalam operasi perniagaan.

“Setiap lima tahun kita kena semak semula data asas yang kita gunakaan apabila sampel tu kita mengambil sebahagian daripada populasi keseluruhan. Jadi kita di seluruh negara ada lebih kurang 1.34 juta. Di Terengganu sahaja, ada lebih kurang 45 ribu yang terlibat dengan perniagaan.”

“Fokus kita sekarang ni kepada sektor informal kerana sektor berkenaan semakin memanafaatkan teknologi. Antaranya, seperti aktiviti berbentuk persendirian dan jualan dalam talian, ” katanya.

Jelas Datuk Seri Mohd Uzir, pelaksanaan bancian ekonomi keenam itu buat julung kali melibatkan sektor informal seperti penjaja makanan, kedai runcit kecil, pengusaha teksi, ‘homestay‘ dan perniagaan mikro bergerak yang menyumbangkepada ekosistem ekonomi setempat.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Terengganu di Masjid Bukit Kukuran, Kemasik, di sini.

Sementara itu, fasa kedua BE2026 yang melibatkan kategori pertubuhan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bermula dari 1 Mac hingga 30 Jun, manakala fasa ketiga kategori pertubuhan sederhana serta besar akan bermula dari 1 Jun hingga 31 Oktober depan.

Sebanyak 1.34 juta entiti perniagaan dari seluruh negara termasuk 45,000 perniagaan di Terengganu dijangka terlibat dalam bancian berkenaan.

Datuk Seri Mohd Uzir berkata, rekod Jabatan Perangkaan pada tahun 2025 menunjukkan pertubuhan mikro meliputi 74.3 peratus diikuti pertubuhan kecil (20.8 peratus), pertubuhan sederhana (1.1 peratus) dan pertubuhan besar (3.8 peratus).

Dapatan BE 2026 akan menjadi input utama kepada pelbagai dasar negara seperti Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), agenda Ekonomi Digital, IR4.0 serta pemerkasaan PMKS dan Bumiputera.

Kira-kira 10,000 petugas tambahan dilantik di seluruh negara bagi melaksanakan bancian berkenaan.