40,000 penganut Hindu meriahkan Thaipusam di Johor Bahru

Suasana di Kuil Arulmigu Thendayuthapani Kovil, Johor Bahru ketika sambutan Thaipusam

JOHOR BAHRU, 1 Februari- Kuil Arulmigu Thendayuthapani Kovil di sini dibanjiri kira-kira 40,000 penganut Hindu sejak semalam termasuk dari Singapura yang hadir sempena perayaan Thaipusam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kehadiran penganut dari pelbagai daerah Johor dan Singapura memeriahkan sambutan Thaipusam di kuil bersejarah.
  • Acara disertai dengan sumbangan makanan dan manisan tradisional menzahirkan semangat kebersamaan komuniti.
  • Penganut membawa nazar seperti membawa susu dan berjalan jauh untuk menunaikan sembahyang nazar serta memohon kesejahteraan keluarga.

Pengerusi Kuil, N. Shanmugam Chettiar berkata jumlah peserta dijangka meningkat sehingga 60,000 orang menjelang petang ini susulan hari terakhir cuti umum di republik berkenaan.

“Sambutan kali ini menerima kehadiran penganut dari Singapura serta pelbagai daerah di Johor seperti Kluang, Muar dan Batu Pahat. Kuil ini berusia 109 tahun dan penganjuran Thaipusam memasuki tahun ke-82,” katanya.

Sambutan di kuil bersejarah itu turut dimeriahkan dengan sumbangan makanan dan manisan tradisional kepada penganut Hindu, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dalam komuniti.

Peserta yang juga seorang pensyarah, S. Kanna berkata Thaipusam merupakan perayaan penting bagi penganut Hindu untuk menyembah Dewa Murugan dengan kebanyakan penganut membawa susu sebagai simbol nazar.

“Kami tiba seawal 6.30 pagi dan berjalan sejauh kira-kira tujuh kilometer ke kuil bagi menunaikan sembahyang nazar,” katanya.

Sementara itu, seorang penganut, M. Thayalan berkata beliau hadir untuk kali kedua bagi menunaikan nazar dan memohon kesejahteraan keluarga.

“Tahun ini saya bernazar memohon agar keluarga sentiasa sihat dan dijauhkan daripada kesusahan,” katanya.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan