fb fb fb fb fb

400 peserta sertai KVK TVET Fun Run, rai jubli emas KV Kangar

Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya melepaskan konvoi 50 buah motosikal berkuasa tinggi sebagai gimik 50 tahun KV Kangar

KANGAR, 25 November- Bersempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Kolej Vokasional Kangar, pelbagai program dilaksanakan bagi meraikan 50 tahun penubuhannya.

Ini termasuk Program TVET Fun Run yang disertai lebih 400 peserta terdiri pelajar, tenaga pengajar dan keluarga, masyarakat setempat serta alumni Kolej Vokasional Kangar.

Menurut Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa (IKAF), Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya, Kolej Vokasional Kangar yang ditubuhkan pada 1973 sebagai Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional Kangar menawarkan sebanyak 12 program pengajian bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha melahirkan tenaga mahir berkemahiran tinggi.

Beliau berkata, transformasi Pendidikan Vokasional menyaksikan Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional Kangar mengalami penjenamaan semula kepada Kolej Vokasional Kangar menyaksikan pengumuman sistem baharu pendidikan vokasional telah melonjakkan kedudukan aliran vokasional dalam sistem pendidikan negara.

Beliau memaklumkannya pada perasmian Kolej Vokasional Kangar TVET City Run sejauh lima kilometer yang turut disertai Pengarah Kolej Vokasional Kangar, Mohamad Yatim Abu Bakar.

Turut berlangsung, konvoi 50 buah motosikal berkuasa tinggi sebagai gimik 50 tahun KV Kangar.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE