KANGAR, 20 Julai- Seramai 400 pelajar berusia antara 4 tahun hingga 17 tahun dari 30 buah sekolah rendah dan menengah seluruh Perlis menjayakan Program Genius Hajj 2024.
Program kali ke-3 dilaksanakan Genius Aulad Kangar bagi merasai pengalaman suasana sebenar mengerjakan ibadah haji.
Menurut Pengarah Program Genius Hajj, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad, menerusi program berkenaan pelajar didedahkan mengenai suasana sebelum dan ketika menunaikan ibadah haji bagi memberi pengetahuan serta latihan praktikal kepada peserta.
Aktiviti yang berteraskan fardu ain itu termasuk menjalankan ibadah tawaf, berwukuf, mengutip batu dan melontar jamrah.
Program itu juga satu inisiatif bagi mengajar anak kecil mencintai Rukun Islam kelima pada usia yang masih muda dan petugas Lembaga Tabung Haji yang bertindak sebagai mutawif menjadi pemudah cara bagi membimbing setiap pelajar yang ada antaranya mereka kali pertama menyertai program sebegini.
Beliau memaklumkannya ketika ditemui media di Program Genius Hajj yang berlangsung di SK Sena,dirasmikan Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa (IKAF), Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya.
Program yang dilaksanakan Genius Aulad Kangar ini mendapatkan kerjasama Lembaga Tabung Haji, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Annura Clinic, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Pengurusan SK Sena dan pelbagai pihak lain yang turut tampil menjayakan program kali ini.