IPOH, 13 November- Kira-kira 40 buah rumah di Taman Meru 2C, Ipoh, rosak selepas dilanda ribut dan hujan lebat, petang tadi.
Beberapa kediaman terjejas teruk apabila sebahagian bumbung rumah diterbangkan angin.
Menurut Pegawai Kanan Bomba 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri, Rasidamayati Abdul Rasid kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.00 petang.
"Angin dan hujan lebat telah menjejaskan bumbung rumah di sini. Kawasan terjejas Taman Meru 2C dari Persiaran 18 hingga 30," katanya kepada pemberita di sini.
Ketika ini, kerja-kerja pembaikan aset sedang dilakukan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), selain pemantauan oleh pihak berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sementara itu, penduduk ditemui menyifatkan ia kejadian terburuk pernah dialami sepanjang menetap di kawasan tersebut.
"Jika tengok bumbung ini habis rosak. Atap di depan ini ada yang pecah, bocor dan diterbangkan angin. Kejadian ini paling buruk" kata penduduk, Muhammad Shah Faizal Kamaruddin.
"Ketika kejadian, saya berada di luar rumah. Kawasan ini memang seringkali dilanja hujan berserta angin kuat," kata penduduk, Ayub Rajimin.
Susulan itu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai (DOR) Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Taman Meru Ipoh dibuka pada pukul 8 .00 malam tadi.
Ia bagi menempatkan penduduk terjejas buat sementara waktu.