
KOTA KINABALU, 15 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan pendirian Kerajaan MADANI untuk memberikan komitmen penuh dalam usaha merealisasikan tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
- Kerajaan Persekutuan menganggap tuntutan 40 peratus hasil Sabah muktamad, tiada rayuan; perbincangan terperinci perlu bagi penyelesaian terbaik.
- Perdana Menteri menegaskan kerajaan komited menunaikan janji pemberian 40 peratus dan tidak akan mengadakan rundingan.
- Kelulusan peruntukan RM1.525 juta untuk baik pulih infrastruktur dan pendidikan digital termasuk elemen kecerdasan buatan di pondok tahfiz.
- Kenyataan dibuat ketika majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 di UMS, disertai Ketua Menteri Sabah dan beberapa menteri persekutuan.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan Persekutuan sedar tuntutan itu adalah muktamad dan tidak ada rayuan, namun perbincangan terperinci mengenainya perlu dilakukan bagi memastikan ia dapat diselesaikan secara terbaik demi manfaat Sabah dan rakyatnya.
“Kita tidak merayu mengenai isu 40 peratus kerana perkara itu sudah dimuktamadkan dan dianggap selesai. Setakat pendirian kerajaan ini, kita telah memberikan jaminan yang jelas bahawa ia merupakan komitmen yang tegas serta keputusan dasar kerajaan.
“Saya telah menyatakan perkara ini dalam Kabinet dan juga di Parlimen bahawa tiada rundingan akan dilakukan. Kerajaan komited untuk menunaikan janji pemberian 40 peratus kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 peringkat Negeri Sabah di Dewan Kuliah 2 Universiti Malaysia Sabah di sini.
Dalam majlis sama beliau turut meluluskan dana sebanyak RM1.525 juta bagi meningkatkan infrastruktur dan pendidikan digital di sekolah tahfiz.
“Tujuan kami adalah untuk memperkenalkan sistem pembaikan infrastruktur dan seterusnya memasukkan elemen kecerdasan buatan (AI) atau pendidikan digital. Namun, banyak sekolah tahfiz yang sudah uzur.
“Oleh itu, bagi Pondok Santarian Nurul Ehsan di Sandakan, Pondok Mita Tahfiz Sandakan, Salam Matunggung, serta Pondok Al-Hasimi di Kudat dan Kota Belud, kita telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.525 juta,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian berlepas balik ke Ibu Negara dari Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), kira-kira 7.55 malam selepas menamatkan lawatan kerja sehari di Kota Kinabalu.