PASIR MAS, 12 Ogos -Empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 34 Felda Chiku 1, dekat Gua Musang, Kelantan pada 9.00 pagi semalam selamat di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Bemban, di sini, pada 12.30 tengah malam tadi.
Jenazah Muhammad Faiz Nor Amran, 31 tahun, adiknya, Nor Aina Imra, 21 tahun dan dua anak kepada Muhammaf Faiz, Muhammad Aryan Fattah Abdul Qayyum, lima tahun, Muhammad Aydan Fattah, empat tahun tiba di tanah perkuburan pada 11.10 malam tadi.
Terdahulu, kesemua jenazah dikafankan di Hospital Gua Musang dan disembahyangkan di Madrasah Ar Rahman Kampung Padang To'la, Pasir Mas.
Proses pengebumian berjalan lancar dengan kira-kira 500 ahli keluarga dan orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir.
Media sebelum ini melaporkan, empat sekeluarga, termasuk dua kanak-kanak maut dalam nahas di Felda Chiku 1.
Isteri kepada Muhammad Faiz yang juga pemandu kereta iaitu Tuan Nor Syuhada Mohd Zain, 23 tahun, cedera parah dan masih mendapat rawatan di Hospital Gua Musang.
Sementara itu, ibu kepada Muhammad Faiz, iaitu Shahima Hamid, 54, berkata walaupun sedih namun dia reda dengan pemergian dua anak serta dua cucunya.
Katanya, dia bersyukur urusan pengebumian berjalan lancar dan dihadiri ramai ahli keluarga dan masyarakat setempat.
Katanya lagi, walaupun kehilangan satu satunya anak perempuan, dia reda kerana Allah lebih sayangkan anaknya itu.
"Syukur Alhamdulillah, saya redha, semua urusan dipermudahkan," kata Shahima.
Beliau juga berharap menantunya, Tuan Nor Syuhada segera sembuh dan terus kuat dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat mempermudahkan urusannya dan keluarga.