fb fb fb fb fb

4.7 juta rakyat Malaysia derita penyakit buah pinggang kronik - KKM

Foto FB KKM

KUALA LUMPUR, 9 Mac- Seramai 9,500 pesakit baharu buah pinggang kronik (CKD) direkod memerlukan rawatan dialisis setiap tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata kira-kira 4.7 juta individu mengalami CKD dan angka berkenaan membimbangkan.

"Kadar peratusan pesakit buah pinggang dalam kalangan orang muda berusia 40 tahun adalah sekitar 30 peratus."

"Ini angka yang sangat besar bagi golongan muda kerana ia akan memberikan kesan terhadap produktiviti negara pada masa hadapan dan juga kesan kepada individu serta keluarga tersebut pada sudut ekonomi," kata Lukanisman kepada media pada majlis Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di Laman Astaka, Taman Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur.

Tambah Lukanisman, kesedaran penyakit buah pinggang kronik adalah sangat penting kerana ia berkait rapat dengan tabiat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat rakyat Malaysia.

Lukanisman turut menjelaskan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa komited dalam terus menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik dan berkualiti kepada rakyat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM