KLUANG, 22 September- Sebanyak 4,369 Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) disasarkan dibina di Kluang bermula tahun 2022 hingga 2026.
Daripada jumlah tersebut, 874 unit telah siap dibina dan sedia diduduki.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan turut meneliti pendekatan Rumah Transit Bangsa Johor untuk diperluas ke negeri lain.
Ia bagi membantu rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan atau keluarga muda memiliki kediaman sendiri.
"Dari pengamatan saya, saya dapati bahawa Kluang ianya sangat cepat terutamanya dari segi memenuhi keperluan perumahan, rumah-rumah ini adalah yang dikategorikan kepada beberapa sektor terutama bagi yang kurang berkemampuan", katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Realisasi Rumah Mampu Milik Kluang di Taman Kluang Perdana, Kluang.
Turut Hadir Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.