3,914 usahawan muda terima Geran Agropreneur bernilai RM86.16 juta

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Januari– Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meluluskan Geran Agropreneur Muda kepada 3,914 usahawan muda dengan nilai keseluruhan RM86.16 juta sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dari 2021 hingga 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Geran Agropreneur Muda diluluskan kepada 3,914 usahawan muda sepanjang RMKe-12 dengan jumlah bantuan RM86.16 juta.
  • 80.25% peserta kekal aktif mengusahakan projek pertanian masing-masing selepas menerima geran.
  • 1,639 usahawan mencatat peningkatan jualan, 1,061 daripada mereka mengalami kenaikan pendapatan lebih 100 peratus.
  • Program dijenamakan semula sebagai Program Agropreneur NextGen dengan GAN Start-Up dan GAN Scale-Up fokus teknologi moden.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen kementerian dalam meremajakan sektor agromakanan negara serta memperluas penglibatan golongan muda termasuk di kawasan luar bandar, melalui pendekatan keusahawanan yang mampan.

Tambahnya, keberkesanan program tersebut bukan sahaja diukur berdasarkan jumlah penyertaan, malah turut dinilai dari segi prestasi dan kelestarian projek yang dilaksanakan.

“Sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), iaitu dari tahun 2021 hingga 2025, kementerian telah meluluskan Geran Agropreneur Muda kepada seramai 3,914 orang usahawan muda, dengan nilai keseluruhan bantuan berjumlah RM86.16 juta,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, data pemantauan terkini menunjukkan sebanyak 80.25 peratus peserta kekal aktif mengusahakan projek pertanian masing-masing manakala 1,639 usahawan merekodkan peningkatan hasil jualan, dengan 1,061 daripadanya mencatatkan kenaikan pendapatan melebihi 100 peratus.

Bagi memastikan kesinambungan dan impak lebih besar di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), program itu telah dijenamakan semula sebagai Program Agropreneur NextGen (PAN) yang disasarkan kepada belia berpendidikan serta celik teknologi.

Beliau menjelaskan PAN merangkumi Geran Agropreneur NextGen (GAN) Start-Up dengan bantuan sehingga RM30,000 dan GAN Scale-Up sehingga RM50,000 termasuk keperluan penerapan teknologi moden seperti Internet of Things (IoT), automasi dan mekanisasi.

Menurut beliau, sektor tanaman merekodkan penyertaan tertinggi dalam kalangan penerima, diikuti Industri Asas Tani, ternakan dan perikanan.