391 murid asnaf terima sumbangan Aidilfitri Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya

Sebahagian daripada murid asnaf yang disantuni Ketua Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya (dua dari kiri) – Foto RTM

PUTRAJAYA, 16 Mac – 391 murid daripada keluarga asnaf sekitar Putrajaya menerima sumbangan sempena Aidilfitri melalui program anjuran Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerima dipilih dalam kalangan murid sekolah rendah sekitar Putrajaya.
  • Program diteruskan tahun ketiga dengan kerjasama pelbagai agensi dan syarikat korporat.
  • Jumlah penerima menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.
  • Setiap murid terima kad AEONBIG bernilai RM100; jumlah sumbangan RM39,100, meringankan beban dan menceriakan mereka.

Ketua Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, penerima dipilih dalam kalangan murid-murid dari sekolah rendah.

Menurutnya, jumlah penerima menunjukkan peningkatan tahun ini berbanding 320 orang pada tahun lalu.

Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya meneruskan tradisinya buat tahun ketiga menyantuni murid kurang berkemampuan dengan kerjasama pelbagai agensi dan syarikat korporat.

“Penganjuran program ini bertujuan membantu meringankan beban keluarga serta menceriakan murid-murid terpilih dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

“Alhamdulillah, hasil keprihatinan dan sokongan semua pihak, jumlah keseluruhan sumbangan yang berjaya disalurkan melalui program ini adalah sebanyak RM39,100.

“Melalui program ini, setiap murid menerima kad AEONBIG bernilai RM100 bagi membolehkan mereka membeli pakaian atau keperluan Hari Raya di mana-mana premis AEONBIG di negara ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan di sini hari ini.

Datuk Mohd Hisamudin berkata, walaupun sumbangan ini kelihatan kecil, namun beliau percaya ia mampu memberi kegembiraan dan semangat kepada anak-anak ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih ceria dan bermakna.