SEREMBAN 26 Februari -366 kes ancaman haiwan berbisa direkodkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sejak Januari hingga kini bagi daerah Seremban.
Daripada jumlah itu 256 membabitkan tangkapan ular sawa dan 23 ular tedung.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Seremban, Kapten Mohamad Ridzuan Mohamed Buniran, panggilan kecemasan membabitkan ancaman haiwan berbisa dan liar dianggarkan bernisbah 10 kes sehari melibatkan kawasan tumpuan seperti Mantin, Labu dan Senawang.
Jelasnya, kawasan tumpuan turut melibatkan kawasan perumahan baru selain tempat penyimpanan barang atau stor, kediaman, enjin kenderaan, tempat pembuangan sampah, saluran paip air, dan lubang tandas.
"Kami menghantar anggota untuk bertindak kes-kes berkaitan ini anggota yang terlatih dan diberikan kursus pengendalian haiwan-haiwan berbisa.
"Jadi, penghantaran anggota bagi menghadapi kes-kes seperti itu mungkin dalam tiga hingga empat orang. Alhamdulilah, tiada insiden-insiden yang tidak sepatutnya berlaku", kata Mohamad Ridzuan ketika ditemui RTM di sini.
Mohamad Ridzuan turut menasihatkan supaya peka dengan perubahan iklim semasa yang menjadi faktor utama mendorong haiwan- haiwan berkenaan untuk keluar daripada habitat asal dan mencari tempat teduh serta lembap.