fb fb fb fb fb

36 peserta berentap dalam Pertandingan Tulisan Khat Jawi Peringkat Kebangsaan

Salah seorang peserta sedang menghasilkan khat jawi

KUANTAN, 27 April- Seramai 36 peserta dari seluruh negara menyertai Pertandingan Tulisan Khat Jawi Peringkat Kebangsaan sempena Program Karnival Sunnah Zon Timur 2024 di RTM Pahang, hari ini.

Program anjuran Akademi Khat Negeri Pahang (AKNP) itu terbuka kepada tiga kategori.

Ketua Penyelaras AKNP, Khairi Izat Amir Mohd berkata, peserta yang hadir melibatkan kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan dewasa berusia tujuh tahun sehingga 19 tahun ke atas.

Jelasnya, tempoh masa yang diberikan kepada peserta untuk menyiapkan tugasan adalah selama tiga jam.

"Durasinya selama tiga jam di mana konsep pertandingan kita bawakan kali ini adalah spontan di atas kertas.

"Maksudnya peserta-peserta akan menulis khat secara spontan dan ayat akan diberikan sejam awal untuk mereka fikirkan macam mana buat karya, bentuknya, apa khat yang akan ditulis,"katanya.

Tambahnya lagi, pertandingan tersebut melibatkan tiga juri dari Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Serentak dengan itu, pelbagai aktiviti berlangsung di perkarangan RTM Pahang sempena Karnival Sunnah Zon Timur 2024.

Antaranya termasuklah pertandingan mewarna melibatkan penyertaan kanak-kanak berusia lima tahun sehingga enam tahun.

Selain itu, Pertandingan Azan melibatkan 31 peserta dari seluruh Pahang di perkarangan RTM Pahang.

Program Karnival Sunnah Zon Timur 2024 berlangsung selama lima hari akan berakhir pada esok.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE