KUALA LUMPUR, 14 Jun - Seramai 35 peserta bengkel 'Stay safe, stay equal' atau 'Keselamatan Jalan Raya dan Kesamarataan Jantina' diberikan pendedahan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang keselamatan jalan raya.
Ketua Program, Ahmad Imran Ismail berkata bengkel melibatkan peserta dari Filipina(18), Kemboja (12) dan Malaysia (5) termasuk 22 orang pelajar tahun akhir Sarjana Muda Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Katanya, bengkel antarabangsa secara dalam talian dianjurkan oleh universiti tempatan dan luar negara ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia University for Society (SULAM) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bermula sejak tahun 2020.
"Bengkel ini turut melibatkan beberapa sesi berkumpulan yang membincangkan cabaran keselamatan jalan raya, isu-isu keselamatan gender-spesifik, penglibatan komuniti, dasar-dasar, dan refleksi peribadi.
"Selain memberi kesan segera, bengkel ini dijangka memberi kesan jangka panjang dengan meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam keselamatan jalan raya dan kesedaran tentang kesamarataan jantina," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, pemilihan Filipina dan Kemboja dipilih sebagai negara sasaran kerana cabaran signifikan yang dihadapi bagi menangani isu ini, sama seperti dihadapi di Malaysia.
"Kawasan bandar di kedua-dua negara menghadapi kebimbangan besar terhadap kemalangan jalan raya, yang memberi impak terhadap keselamatan dan kesejahteraan warganya," katanya.
Bengkel antarabangsa ini dianjurkan bersama oleh UiTM, University of the Philippines (UP) dan Cambodia Safety Solution Organization (CaMSafe) yang berpengkalan di Kemboja.
Bengkel dihadiri oleh empat penceramah iaitu Prof. Ma. Sheilah G. Napalang dari University of the Philippines; Prof. Madya Dr.-Ing Masria Mustafa dari UiTM; Sovann Kong dari CaMSafe, dan Prof. Madya Dr. Sandy Mae A. Gaspay dari University of the Philippines.