fb fb fb fb fb

35 pasukan sertai Perlumbaan Perahu Naga Diraja Pahang

KUANTAN, 30 Julai- Sebanyak 35 pasukan menyertai Perlumbaan Perahu Naga Diraja Pahang 2023 yang julung kali diadakan di Sungai Kuantan.

Program yang berlangsung hari ini dan esok bermula dari hadapan Jeti Jabatan Laut Kuantan dan berakhir di hadapan Menara Kuantan 188.

Pengarah Urusan Kuantan 188, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, ia bukan saja dapat mempromosi keindahan Sungai Kuantan, malah membantu penduduk sekitar menjana pendapatan menerusi jualan produk desa.

"Sungai yang begitu cantik ini kita akan terus jaga kebersihannya, dengan hutan bakau lebih 500 tahun yang ada ini sebagai aset yang cukup berharga. Bak kata orang 'make it a living river' sebab memang sungai ini aktif dengan nelayan setiap hari," katanya.


(Pengarah Urusan Kuantan 188, Datuk Zulkifli Mohamad)

Sementara itu, Exco Perpaduan, Pelancongan Dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata kerajaan negeri berhasrat untuk menjadikan pertandingan itu bertaraf antarabangsa pada tahun hadapan kerana ia diyakini dapat melonjakkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

"Saya percaya bahawa untuk tahun akan datang kita dapat memajukan lagi dan menaikkan lagi pertandingan supaya ia menjadi satu pertandingan antarabangsa yang mampu menarik pelancong datang ke Kuantan dan sekali gus membawa impak positif kepada ekonomi tempatan," katanya.

Perlumbaan Perahu Naga Diraja Pahang 2023 merupakan sebahagian acara sempena Pesta Kuantan 188 yang diadakan hingga Isnin ini.

Media Baharu