fb fb fb fb fb

349,966 murid di Kedah mulakan persekolahan hari ini

FOTO RTM

SUNGAI PETANI, 16 Februari- Seramai 349,966 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di Kedah memulakan sesi akademik 2025/2026 bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Ismail Othman berkata 74,003 merupakan murid baharu, manakala 200,574 adalah murid sekolah rendah dan 149,392 pelajar sekolah menengah.

Kesemua pelajar meneruskan sesi persekolahan di 752 sekolah seluruh negeri terdiri daripada 548 sekolah rendah dan 204 sekolah menengah.

Menurutnya, pengoperasian semua sekolah hari ini berjalan lancar dengan kerjasama daripada seramai 30,011 guru dan 4,320 Anggota Kumpulan Perlaksana (AKP).

"Hari pertama sekolah ini berjalan dengan lancar. Alhamdulillah.

"Pada minggu pertama persekolahan, konsep pembelajaran lebih fokus kepada aktiviti yang mesra dan ceria untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang penuh dengan kasih sayang," katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakar Arang di sini hari ini.

Tambah beliau, konsep yang diutamakan dalam minggu pertama adalah "Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Sejahtera dan Negara Sejahtera."

Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan juga bertujuan untuk memberi kesan dan impak dari segi sosial, emosi dan semangat murid-murid.

Beliau memaklumkan bagi murid-murid yang baru memasuki tahun satu, program-program menyeronokkan diharap dapat meningkatkan emosi mereka agar mereka terus berminat untuk hadir ke sekolah setiap hari.

1602 JPN KEDAH SEKOLAH MULA
Ismail Othman/RTM

SITI AISHAH MD ISA