
KUALA KANGSAR, 12 Januari– Seramai 348,594 murid di Perak memulakan sesi persekolahan 2026 hari ini, membabitkan 849 buah Sekolah Kebangsaan (SK) dan 256 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).
- 348,594 murid di Perak memulakan sesi persekolahan 2026 melibatkan 1,105 sekolah.
- Jumlah murid termasuk 185,835 di SK dan 162,759 di SMK disokong oleh 38,036 guru.
- Bantuan Awal Persekolahan sekitar RM150 membantu ibu bapa terutama golongan B40 untuk kelengkapan dan yuran.
Jumlah itu melibatkan bilangan murid SK seramai 185,835 orang manakala murid SMK pula berjumlah 162,759 orang.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar, kesemua 1,105 buah sekolah di negeri itu dibuka seperti biasa.
“Pendaftaran hari ini menandakan permulaan sesi persekolahan 2026 yang melibatkan seramai 348,594 murid, merangkumi peringkat prasekolah hingga Tingkatan Enam.”
“Di Perak sahaja, jumlah murid yang memulakan sesi persekolahan adalah seramai 348,594 orang, disokong oleh 38,036 orang guru bagi memastikan kelancaran sesi persekolahan tahun ini,” kata Zulkafli kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui media di Sekolah Raja Perempuan Muzwin, di Kuala Kangsar.
Sementara itu, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) terus memberi kelegaan kepada ibu bapa di Perak, khususnya mereka yang pertama kali menghantar anak ke Tahun Satu.
Bantuan kewangan itu sedikit sebanyak meringankan beban, sekali gus membantu ibu bapa membuat persiapan lebih terancang untuk anak-anak yang baharu memulakan sesi persekolahan.
“Alhamdulillah, bantuan ini amat membantu, terutamanya kepada golongan B40 yang memang memerlukan sokongan seperti ini. Kelengkapan asas sudah kami beli lebih awal, jadi apa yang sedia ada mungkin sekadar mencukupi. Bantuan yang diterima nanti boleh digunakan untuk membeli kelengkapan seterusnya,” kata ibu pelajar, Norlyana Zulkifly.
“Perbelanjaan utama sekarang lebih kepada yuran kerana persiapan pakaian dan kelengkapan sekolah telah dibuat lebih awal. Kami akan lihat keperluan pada masa akan datang kerana barang-barang sekolah kanak-kanak cepat rosak dan cepat habis,” kata bapa pelajar, Kamal Bacha Mohamad Ibrahim.
“Bantuan sekitar RM150 itu boleh dimanfaatkan untuk pembayaran yuran sekolah,” jelas ibu pelajar, Roszalina Zainal Abidin.