fb fb fb fb fb

33,319 unit xEV setakat 30 September

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Jumlah kenderaan elektrifikasi (xEV) di Malaysia telah mencecah 33,319 unit setakat 30 September, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Angka itu sekali gus menyumbang 5 peratus daripada jumlah keseluruhan industri automotif (TIV) dalam tempoh yang sama.

"Peningkatan ini merangkumi lebih 15,000 unit kenderaan elektrik sepenuhnya (BEV), dan penggunaan kenderaan hibrid serta PHEV (kenderaan elektrik hibrid plug-in) terus relevan dalam menyokong sasaran negara mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050," katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 4,984 permohonan bagi Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) telah diluluskan.

Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) yang diperkenalkan oleh Institut Automotif, Robotik, dan IoT Malaysia (MARii) di bawah Belanjawan 2024, bertujuan menggalakkan rakyat beralih kepada kenderaan elektrik.

Tambahnya, skim ini menawarkan rebat tunai RM2,400 bagi pembelian motosikal elektrik, serta subsidi RM200 sebulan selama 12 bulan untuk langganan motosikal elektrik, khusus untuk rakyat Malaysia berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah.

Program ini dijangka tamat pada 31 Disember ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN