325 peniaga bazar Lembah Pantai terima bantuan khemah, peranti digital

Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan bantuan kepada peniaga bazar Ramadan Lembah Pantai di Kuala Lumpur/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 7 Februari – Seramai 325 peniaga di dua bazar Ramadan sekitar Lembah Pantai menerima sumbangan khemah, apron serta kemudahan 100 unit peranti pembayaran digital iaitu Touch ’n Go Wallet Soundbox dan EPOS360 Blue Tap.

RINGKASAN BERITA AI
  • 325 peniaga bazar Ramadan Lembah Pantai menerima khemah, apron dan 100 unit peranti pembayaran digital.
  • Inisiatif Touch ’n Go membantu persediaan Ramadan dan mengurangkan kos operasi perniagaan peniaga.
  • Setiap peniaga terima sumbangan tambahan RM100 daripada Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai.
  • RM30,000 disalurkan kepada Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan; bayaran tapak dikurangkan kepada RM300.

Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif Kumpulan Touch ’n Go itu bertujuan membantu peniaga membuat persiapan awal menjelang Ramadan serta mengurangkan kos operasi perniagaan.

“Dua bazar Ramadan di Lembah Pantai iaitu di Bazaria Pantai dan Taman Sentosa menerima sebanyak 325 unit meliputi semua petak sebagai usaha membantu peniaga bersedia menghadapi Ramadan serta mengurangkan kos untuk berniaga,” katanya selepas menyempurnakan majlis Touch ’n Go X Bazar Ramadan Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

Beliau turut mengumumkan sumbangan tambahan RM100 daripada Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai kepada setiap peniaga di kedua-dua bazar berkenaan.

Datuk Fahmi berkata sebanyak RM30,000 turut disalurkan kepada Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan.

Katanya langkah itu menjadikan bayaran tapak bazar Ramadan yang perlu dibayar peniaga hanya RM300 berbanding kadar siling RM400 yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan perbincangan sedang dijalankan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi melaksanakan kempen keselamatan internet yang akan diumumkan kemudian.