32 asnaf terima manfaat Program Keusahawanan Digital FCoEE, UMK

Foto FB FCoEE

KANGAR, 11 April – Seramai 32 peserta terlibat dalam Bengkel Latihan Keusahawanan Digital Asnaf dibawah Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM) anjuran Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE).

RINGKASAN BERITA AI
  • Program pendigitalan bertujuan meningkatkan taraf hidup peserta melalui penglibatan aktif dalam ekonomi digital inklusif dan berdaya saing.
  • Peserta terdiri daripada golongan asnaf, usahawan ATAM serta peniaga kecil tempatan.
  • Peserta menerima bimbingan sistematik dan sokongan berterusan sepanjang program.
  • Penekanan pada pembinaan minda keusahawanan, penerokaan peluang perniagaan dan penggunaan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan.

Pengerusi Eksekutif FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamaruddin Hussin berkata, program pendigitalan anjuran bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu bertujuan meningkatkan taraf hidup peserta melalui penglibatan aktif dalam ekonomi digital yang lebih inklusif dan berdaya saing.

“Kesemua peserta merupakan golongan asnaf yang terlibat dalam PPITM, usahawan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) serta peniaga kecil tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bengkel Latihan Keusahawanan Digital Asnaf dibawah PPITM di sini.

Menerusi bengkel tersebut, peserta akan menerima bimbingan secara sistematik serta sokongan berterusan.

Penekanan diberi kepada aspek penting termasuk pembinaan minda keusahawanan, penerokaan peluang perniagaan semasa serta penggunaan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI).

Ini penting bagi melahirkan usahawan yang lebih berkaliber, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran dunia perniagaan sebenar.