fb fb fb fb fb

30 sukarelawan ditugaskan di lokasi kritikal di Hospital Sultanah Aminah

Foto FB Southern Volunteers

JOHOR BAHRU, 24 Julai - Seramai 30 sukarelawan Southern Volunteers (SV) ditugaskan di lokasi-lokasi kritikal di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini sehingga September ini bagi membantu pihak hospital mengatasi kekurangan kakitangan sokongan.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Md Shah berkata, mereka akan terlibat dengan urusan orang awam seperti membantu menghantar pesakit ke lokasi diperlukan.

"Setiap hari dibahagikan kepada tiga syif iaitu dari pukul 7.00 pagi hingga 2.00 petang, 2.00 petang hingga 9.00 malam dan 9.00 malam hingga 7.00 pagi. Daripada seramai 100 orang sukarelawan yang terlibat, mereka akan bertugas secara bergilir.

Jadi, setiap hari kira-kira 30 sukarelawan akan bertugas mengikut jadual giliran yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah HSA Johor Bahru, Dr Mohamad Nizam Subahir berkata, maklum balas yang diterima sangat baik dan memberi kesan positif kepada petugas dan orang awam.

"Alhamdulillah, setakat ini maklum balas yang diterima sangat positif. Ia banyak membantu kerana pesakit dapat menerima pertolongan lebih awal.

Sejujurnya, ia memberi kesan yang baik kepada petugas serta orang awam. Inisiatif ini ternyata sangat membantu," ujarnya ketika membuat lawatan SV Healthcare HSA, di sini.

Lawatan tersebut turut disertai Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon.

Kira-kira 80 peratus proses di HSA memerlukan intervensi sukarelawan bagi memastikan aliran operasi lebih efisien serta tersusun.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN