PADANG BESAR, 15 Februari- Sebanyak 300 set cermin mata percuma disediakan menerusi Program Pemeriksaan Mata Percuma dan Subsidi Cermin Mata yang dianjurkan Inisiatif Bina Bangsa dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Titi Tinggi.
Program tanggungjawab sosial ini dilaksanakan bagi membantu penduduk setempat yang mempunyai masalah mata selepas pemeriksaan dilakukan mendapatkan cermin mata bersesuaian dengan masalah dihadapi.
Menurut Exco Negeri yang juga ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim, 300 set cermin mata percuma berkenaan khusus kepada penduduk yang mengalami masalah rabun dekat untuk membaca serta melakukan aktiviti harian.
Manakala bagi yang mengalami masalah rabun jauh serta ingin mendapatkan set cermin mata yang tahan calar atau tahan panas serta berkualiti tinggi perlu membelinya dengan diskaun sebanyak 40% hingga 60% ditawarkan.
“Program yang dilaksanakan ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia atau jantina mahupun kaum, yang mana kesemua layak mendapatkan khidmat yang disediakan", katanya pada program Pemeriksaan Mata Percuma dan Subsidi Cermin Mata di Masjid Al-Mustaghfirin, Bukit Chabang yang dihadiri lebih 150 penduduk setempat.
Selain Masjid al-Mustaghfirin, program turut berlangsung di Masjid Solahuddin Al-Ayyubi dan Masjid Jabal Al-A’la dan sebanyak 100 set cermin mata percuma disediakan di setiap lokasi program. Secara keseluruhan, lebih 500 penduduk hadir di ketiga-tiga lokasi program.