300 penghantar makanan terima manfaat Program Servis Motorsikal Percuma di Langkawi

FOTO ANAK MUDA MADANI KEDAH

LANGKAWI, 21 Februari – Prihatin terhadap kebajikan penghantar pesanan bermotorsikal, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Anak Muda MADANI Kedah menganjurkan Program Servis Motorsikal Percuma di pulau peranginan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anak Muda MADANI Kedah menganjurkan Program Servis Motorsikal Percuma di Langkawi untuk bantu penghantar makanan.
  • Kira-kira 300 penghantar daripada pelbagai syarikat menerima manfaat program tersebut.
  • Program bertujuan tingkatkan keselamatan dengan penyelenggaraan motosikal seperti pertukaran tayar.

Kira-kira 300 penghantar makanan daripada pelbagai syarikat yang beroperasi di sini menerima manfaat daripada program tersebut.

Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, pihaknya amat menghargai usaha keras golongan penghantar pesanan yang saban hari komited menyediakan
perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Beliau berkata, mereka mempertaruhkan masa dan tenaga, berpanas dan berhujan demi memastikan pesanan sampai tepat pada waktunya.

Keadaan itu menyebabkan motorsikal yang digunakan sering mengalami kerosakan termasuk tayar haus.

Justeru katanya, kenderaan yang selamat dan diselenggara dengan baik amat penting untuk keselamatan mereka.

“Sahabat-sahabat yang terlibat dalam permotoran untuk membantu ataupun memberi nafas baru kepada rakan-rakan dalam Grab, foodpanda dan MISI supaya dalam konteks keselamatan ini kita beri keutamaan. Mungkin ini kali pertama dalam sejarah saya rasa di Pulau Langkawi dalam konteks membuat pertukaran tayar dan sebagainya.

“Saya akan cuba teruskan usaha ini sebagai langkah berterusan dalam konteks keselamatan untuk kepentingan sahabat-sahabat ataupun adik-adik saya yang terlibat dalam kerja penghantaran,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di sini.”

Beliau berharap usaha kecil itu menjadi tanda sokongan dan penghargaan kepada wira-wira penghantar makanan yang disifatkan sebagai antara tulang belakang ekonomi harian masyarakat.