LABUAN, 23 Mac- 30 buah bina baharu rumah dan 50 buah rumah dibaik pulih diluluskan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk dilaksanakan di Labuan pada tahun 2024 menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
Program “Touch Point” itu memberikan fokus kepada kerajaan membantu keluarga miskin dan miskin tegar di luar bandar.
Setiausaha Politik Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KDW) Datuk Mohd Razlan Muhamad Rafii berkata pihak kerajaan memastikan golongan sasar itu memiliki rumah kediaman yang selamat dan selesa di samping dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik.
“Keluasannya lebih besar dan harganya pun lebih tinggi dulu RM79,000 sekarang RM85,000 dan kita lihat lebih selesalah ada dua bilik air, tiga bilik dan juga dengan designnya yang baru dan keselesaan itu menunjukkan kesejahteraan rakyat”, katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan perkembangan pembinaan rumah PPRS di sini.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Mohd Rafi Datuk Alli Hassan berharap projek PPRS perlu diteruskan di Labuan.
“Kita tahu Labuan amat memerlukan rumah PPRT ini, banyak permohonan yang saya dapat daripada masyarakat jadi kalau dapat diluluskan untuk tahun ini lagi 20 ataupun 30 buah rumah jadi kita dapat menyelesaikan masalah-masalah rakyat di Labuan”, katanya.
Penerima bantuan bina baharu rumah Mariniwati Ab. Rajan zahir kesyukuran permohonanya diluluskan untuk memiliki rumah yang selesa untuk didiami.
“Saya rasa bersyukurlah untuk tempat kami tinggal yang baru yang macam Datuk Rafi cakap ada dapur ada tandas jadi anak-anak pun selesalah termasuk anak yang anak istimewa kan dia perlukan keselesaan untuk tinggal untuk mandi untuk masak terima kasih banyak-banyak pada semua yang terlibat”, katanya.