fb fb fb fb fb

30, 893 pelajar IPTA terima wang pendahuluan PTPTN

KUALA LUMPUR, 25 September - Seramai 30, 893 pelajar yang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP).

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM46.34 juta kepada pelajar bagi kemasukan sesi Oktober 2023.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berharap inisiatif pemberian WPP itu adalah sebagai salah satu usaha dalam menjayakan agenda pendidikan negara.

"Ini bagi memastikan semua pelajar di negara ini mampu melangkah masuk ke IPT tanpa sebarang masalah kewangan.

"Semoga WPP ini dapat meringankan beban ibu bapa dan menjadi motivasi kepada para pelajar untuk menggapai kejayaan sekali gus menjadi insan kebanggaan keluarga, masyarakat dan negara," katanya menerusi hantaran melalui Facebook.


(PTPTN bantu pelajar melalui Wang Pendahuluan Pelajar (WWP)
dengan menerima wang sebanyak RM1,500/FOTO FB PTPTN)

Setiap pelajar yang layak, menerima wang sebanyak RM1,500 untuk menampung perbelanjaan bagi persiapan awal mereka memasuki IPTA.

Sejak WPP diperkenalkan pada 1999, sehingga 31 Ogos lalu seramai 969,046 pelajar menerima manfaat berkenaan dengan peruntukan berjumlah RM1.43 bilion.

Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui portal rasmi PTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 19 September lalu dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).

Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 19 September hingga 18 November depan.


Media Baharu