KUALA LUMPUR, 12 Oktober-Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merekodkan 3,380 aduan dan pertanyaan berkaitan pelaburan pada suku ketiga tahun ini.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Kaunsel SC, Yew Yee Tee berkata, angka itu menunjukkan peningkatan drastik sebanyak 28 peratus berbanding tahun lalu.
Jumlah itu merangkumi skim penipuan baharu dan canggih yang menggunakan teknologi manipulasi video dan audio serta modus operandi yang sentiasa berubah.
"Lebih membimbangkan, kita masih membenarkan banyak penipuan baru muncul. Contohnya, teknologi 'deepfake' yang digunakan untuk meniru personaliti berprofil tinggi dan membuat lakonan menyerupai syarikat-syarikat terkemuka.
"Oleh itu, SC akan mengesan dan mengeluarkan kenyataan media untuk memberi amaran kepada orang ramai. Saya berharap orang ramai mengambil masa untuk membaca dan memahami amaran tersebut," katanya pada Majlis Pelancaran InvestSmart Fest 2024.
Tambahnya, kebanyakan penipuan menggunakan elemen yang sama iaitu penggunaan akaun bank keldai untuk memindahkan dana yang diperoleh secara haram.
Bagi suku ketiga, hampir 190 penipuan dan aktiviti tanpa lesen baharu ditambah ke dalam Senarai Amaran Pelabur.
Ini menjadikan jumlah terkini yang tersenarai sebanyak 1,311 entiti.