fb fb fb fb fb

3,000 peserta sertai perarakan Maulidur Rasul peringkat Bintulu

FOTO RTM,

BINTULU, 16 September- Sebanyak 3,000 peserta daripada 61 kontijen telah menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat Bahagian Bintulu yang berlangsung di Dataran Esplanade Bintulu, pagi tadi.

Acara dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh Johan Qari dan Qariah 2023, diikuti dengan bacaan selawat serta doa. Perarakan sejauh tiga kilometer itu dimulakan sebaik ketibaan Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak, Iskandar Turkee, selaku tetamu kehormat.

Pelbagai agensi kerajaan, jabatan, sekolah, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil bahagian dalam perarakan tersebut, yang turut diserikan dengan persembahan Nasyid.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian Anugerah Tokoh Murid Islam Cemerlang.

Dalam pertandingan sepanduk, Sekolah Kebangsaan Jepak dinobatkan juara bagi kategori sekolah rendah, manakala Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu memenangi kategori sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi. Masjid Darul Falah Batu 10 pula memenangi kategori masjid, surau, dan JKK kampung.

Bagi pertandingan perarakan, Polis Diraja Malaysia muncul sebagai juara kategori badan beruniform, manakala Persatuan Kebajikan Islam Bintulu (Pekida) menjuarai kategori persatuan dengan 81 markah. Kedua-dua pemenang menerima hadiah wang tunai RM1,500 serta piala.

Sambutan diadakan bertujuan memperingati kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan umat Islam di Bintulu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE