28 usahawan tani di Terengganu nikmati pendapatan stabil

Foto FB Media UMT

MARANG, 26 Februari– 28 usahawan tani di Terengganu kini menikmati pendapatan lebih stabil hasil penglibatan dalam Projek Melon Manis Terengganu atau MMT.

RINGKASAN BERITA AI
  • 28 usahawan tani menikmati pendapatan stabil melalui penglibatan dalam Projek Melon Manis Terengganu (MMT).
  • Projek dilaksanakan secara berstruktur sejak 2021 dengan pembangunan infrastruktur dan sistem fertigasi separa terbuka.
  • Latihan dan pemindahan teknologi oleh UMT serta sokongan TERAJU, FAMA dan Jabatan Pertanian meningkatkan kapasiti peserta.
  • Pembangunan 17 unit rumah pelindung hujan dan pengembangan sistem ke 22 lokasi meningkatkan pengeluaran melon.

Projek kerjasama antara Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dilaksanakan sejak tahun 2021 di Ladang Melon, Kampus UMT Bukit Kor.

Inisiatif tersebut menggunakan pendekatan berstruktur merangkumi pembangunan infrastruktur, sistem fertigasi separa terbuka, pemindahan teknologi serta latihan pengurusan perniagaan.

Ia bagi memastikan peserta memperoleh pendapatan minimum, seribu 200-ringgit sebulan secara konsisten.

Jelas Pengarah Jaminan dan Pengurusan Program TERAJU Suhaila Salleh, dana TERAJU digunakan bagi memilih komuniti sesuai serta meningkatkan kapasiti peserta melalui latihan bersama UMT sebagai rakan strategik.

“Kami lihat peserta sudah ada peningkatan ketara. Oleh sebab itu, penglibatan pihak industri seperti FAMA amat diperlukan agar hasil mereka boleh terjual. Selain itu kolaborasi bersama Jabatan Pertanian juga membantu para peserta faham mengenai bahagian teknikal dan akhirnya mereka boleh belajar sesuatu,” katanya selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan Impak Projek Komuniti Kolaborasi TERAJU-UMT di Kompleks Pertanian Kampus UMT Bukit Kor, Marang.

17 unit Rumah Pelindung Hujan lengkap dengan sistem fertigasi turut dibangunkan melibatkan kawasan seluas 1.5 ekar.

Penanaman awal melibatkan empat-ribu polibeg menghasilkan kira-kira tiga tan metrik melon dan dijangka mencecah 20 tan semusim apabila kapasiti penuh dicapai.

Sistem sama turut diperluaskan ke-22 lokasi lain termasuk Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang.