fb fb fb fb fb

28 IPT tersenarai QS bukti kualiti pendidikan Malaysia bertaraf dunia - MQA

Dr. Mohammad Shatar Sabran

SEPANG, 7 Jun- Sebanyak 28 universiti tempatan tersenarai dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2025 sekali gus membuktikan kualiti pendidikan tinggi negara bertaraf dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pencapaian membanggakan itu memperlihatkan institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia kini "berdiri sama tinggi, duduk sama rendah" dengan universiti antarabangsa yang lain.

Ini juga mencerminkan kepercayaan masyarakat global terhadap prestasi pendidikan tinggi negara, justeru diharap masyarakat di negara ini yakin dengan IPT tempatan sama ada awam mahupun swasta kerana dalam konteks kualiti, MQA akan sentiasa memantau dan tidak berkompromi dalam proses pengawalseliaan.

Katanya, persepsi universiti luar negara lebih berkualiti daripada IPT tempatan sudah tidak relevan kerana penarafan yang dikeluarkan QS menyaksikan IPT tempatan setara dengan penyedia pendidikan tinggi global, malah rakan kerjasama badan akreditasi anatarabangsa juga melontarkan pandangan sama.

"Satu ketika dulu, mungkin kita masih ketinggalan kerana jumlah universiti tempatan masih sedikit dan kualitinya belum seperti tahap sekarang seterusnya membuatkan masyarakat kita berlumba-lumba untuk menghantar anak ke luar negara.

"Bagaimanapun, dalam konteks kualiti, kini kita sudah setaraf dengan IPT antarabangsa, malah ada beberapa universiti kita lebih baik daripada IPT luar negara," katanya ketika mengulas mengenai pencapaian IPT tempatan dalam senarai penarafan QS World University Rankings 2025 yang diumumkan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, lebih membanggakan apabila universiti tertua negara, Universiti Malaya (UM) terus berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia.

Beliau berkata, bukan mudah untuk kekal di kelompok terbaik dunia, namun UM membuktikannya sejak tujuh tahun berturut-turut, malah berada pada kedudukan lebih baik berbanding kebanyakan IPT luar negara.

"Tahniah diucapkan kepada lima universiti penyelidikan negara iaitu UM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kerana kekal di kelompok 200 terbaik dunia.

"Sebagai badan tunggal yang menyelia akreditasi pendidikan tinggi negara, MQA sentiasa komited untuk memastikan imej dan kualiti pendidikan tinggi Malaysia sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa, misalnya menerusi inisiatif pendidikan fleksibel kursus pendek micro-credentials, Pengakreditan Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman Terdahulu (APEL) serta work-based learning (WBL) 2.0," katanya.

SITI AISHAH MD ISA