252 kesalahan kebersihan premis makanan direkodkan di Pulau Pinang tahun lepas

Foto fail

GEORGE TOWN, 4 Februari – Sebanyak 252 kesalahan kebersihan premis makanan direkodkan di Pulau Pinang sepanjang 2025 hasil pemantauan serta penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

RINGKASAN BERITA AI
  • 252 kesalahan kebersihan premis makanan direkodkan oleh JKNPP sepanjang 2025 di Pulau Pinang.
  • Kesalahan termasuk kebersihan premis, pengendali makanan, penyediaan, penghidangan dan isu makanan itu sendiri.
  • Ops Ma Januari menghasilkan 10 notis kompaun RM18,500, 145 sitaan produk dan satu kes dibawa ke mahkamah.
  • Penguatkuasaan bertujuan melindungi pengguna dan mencegah keracunan makanan menjelang musim perayaan.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang Daniel Gooi Zi Sen berkata kesalahan itu direkodkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Beliau berkata statistik berkenaan hanya melibatkan rekod JKNPP dan tidak termasuk kesalahan di bawah undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

“Terdapat sebanyak 252 kesalahan premis makanan yang melibatkan kebersihan premis, 35 kesalahan pengendali makanan, dua kes pendaftaran di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, tiga kesalahan penyediaan makanan, tiga kesalahan penghidangan dan 179 kesalahan melibatkan makanan itu sendiri selain satu lagi kes di bawah keperluan peraturan tersebut.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media Program Pelancaran Operasi Pemantauan Keselamatan Makanan bersempena Tahun Baharu Cina 2026 di George Town.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Datuk Dr Fazilah Shaik Allaudin.

Dalam tempoh Januari lalu, JKNPP melaksanakan 12 operasi di seluruh negeri di bawah Ops Ma.

Operasi itu melibatkan pemeriksaan kebersihan premis makanan, pemeriksaan fizikal produk termasuk pembungkusan dan pelabelan serta pensampelan makanan berisiko tinggi dan makanan tradisi perayaan.

Hasil operasi berkenaan menyaksikan 10 notis kompaun berjumlah RM18,500 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk pelabelan tidak lengkap, makanan melepasi tarikh luput dan pembungkusan makanan rosak.

Selain itu, 145 sitaan produk makanan bernilai hampir RM700 direkodkan manakala satu kes pelanggaran hasil pensampelan makanan dibawa ke mahkamah dengan denda RM15,000 dikenakan.

Dalam perkembangan berkaitan, JKNPP menerima 475 aduan awam berkaitan premis makanan sepanjang 2025 yang majoritinya melibatkan restoran dan kedai makan diikuti kantin sekolah, medan selera, warung, katering serta pasar raya.

Daniel menegaskan penguatkuasaan dijalankan bukan untuk menghukum semata-mata sebaliknya bagi melindungi hak pengguna dan mencegah kejadian keracunan makanan terutama menjelang musim perayaan.