fb fb fb fb fb

25,000 orang dijangka hadir Rumah Terbuka Malaysia Madani

KUALA LUMPUR, 27 April- Seramai 25,000 orang dijangka hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kedah pada 29 April ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Wan Husbi Wan Mohd berkata pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung disediakan dalam program nasional itu meliputi pemberian duit raya dan persembahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, penganjuran luar dari Putrajaya itu memberi peluang kepada perdana menteri untuk menyantuni rakyat Kedah secara menyeluruh.

"Inilah peluang rakyat jelata bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kalau mengikut aturcaranya, perdana menteri menyantuni rakyat yang hadir dan majlis ini diharap dapat membantu rakyat dalam memahami secara keseluruhannya konsep Malaysia Madani," kata Wan Husbi dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, hari ini.

Sebanyak 14 kategori juadah disediakan dalam Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Hotel Raia Alor Setar, Kedah dari pukul 10.00 pagi hingga 2.00 petang.

Dari segi keselamatan, PDRM akan ditempatkan sekitar kawasan itu agar program tersebut berjalan dengan lancar.


(FOTO AFP)

Media Baharu