KANGAR, 4 Disember - Jumlah penduduk terjejas banjir di Perlis yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) berkurang kepada 247 individu berbanding 299 individu malam tadi.
Sehingga 8 pagi ini, 78 keluarga berkenaan masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tambun Tulang dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Sireh.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Perlis, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud menerusi kemaskini terkini memaklumkan, PPS SK Tambun Tulang di Arau menempatkan 112 individu daripada 42 keluarga.
Manakala sebuah lagi PPS SK Lubuk Sireh di Padang Besar pula menempatkan 135 individu daripada 36 keluarga.
Usaha pemulihan bencana banjir di seluruh kawasan terjejas di Perlis terus giat digerakkan melibatkan kerja-kerja pembersihan pascabanjir serta penyaluran barang makanan dan keperluan harian.
