
KUALA LUMPUR, 14 Mac – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti lebih 200 lokasi bagi pelaksanaan projek naik taraf kemudahan penjaja menerusi program Lestari Niaga.
- DBKL melantik kontraktor untuk memulakan pembinaan fasa pertama pembaikan dan naik taraf infrastruktur awam selepas Aidilfitri.
- Fasa pertama melibatkan 61 kontraktor melaksanakan kerja di 120 lokasi; baki pula akan dijalankan pada fasa kedua.
- DBKL ambil tindakan terhadap 17 penjaja yang menyewakan tapak bazar Ramadan kepada pihak ketiga, diarahkan tutup segera.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud menyatakan inisiatif itu bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan penjaja dapat berniaga dalam keadaan lebih selesa.
“Kita kenal pasti 240 lokasi melibatkan penjaja terutama di tepi jalan bawah program Lestari Niaga. Seramai 10,000 penjaja telah dibanci dan akan diberikan kemudahan yang lebih baik,” katanya dalam sidang media mengenai pengurangan kadar sewa tapak penjaja di ibu negara.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurutnya, DBKL telah melantik kontraktor untuk memulakan pembinaan fasa pertama yang melibatkan kerja membaiki serta menaik taraf infrastruktur awam selepas Aidilfitri.
Bagi fasa pertama, seramai 61 kontraktor dilantik untuk melaksanakan kerja di 120 lokasi, manakala baki 120 lokasi lagi akan dilaksanakan pada fasa kedua selepas kerja infrastruktur awam selesai.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Fadlun menegaskan DBKL mengambil tindakan terhadap 17 penjaja yang menyewakan tapak bazar Ramadan kepada pihak ketiga serta mengarahkan penutupan serta-merta perniagaan.