24 penduduk dipindahkan ke PPS akibat banjir di Tawau

FOTO JBPM TAWAU

TAWAU, 22 Februari – Seramai 24 penduduk terjejas banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Tanjung Batu Keramat dalam operasi menyelamat yang dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.54 malam dan segera menggerakkan pasukan ke lokasi.
  • Operasi disertai lapan anggota, FRT, unit EMRS dan sebuah bot penyelamat dipimpin PBK I Mohd Yahya Abdul Fatah.
  • Semua 24 mangsa dipindahkan selamat ke PPS; tiada kecederaan dilaporkan.
  • Paras air mulai surut, pemeriksaan kawasan selesai dan operasi ditamatkan pada jam 12.04 tengah malam.

Ketua Balai BBP Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.54 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 10.02 malam dan segera melaksanakan kerja-kerja penyelamatan serta pemindahan mangsa yang terjejas akibat banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Operasi tersebut diketuai Komander Operasi, PBK I Mohd Yahya Abdul Fatah, melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah bot penyelamat.

Menurut beliau, semua mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat ke PPS tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Daripada 24 mangsa yang dipindahkan, 16 merupakan dewasa manakala lapan lagi adalah kanak-kanak. Operasi berjalan lancar dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, paras air dilaporkan semakin surut dan keadaan cuaca bertambah baik apabila hujan mulai berhenti ketika operasi dijalankan.

Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan terjejas bagi memastikan tiada risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.04 tengah malam.

JBPM Sabah memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa berada pada tahap terkawal.