fb fb fb fb fb

236 orang asli RPS Kuala Betis, terima elaun sara hidup TSK

Foto FB JAKOA

GUA MUSANG, 4 Disember- Seramai 236 orang asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan mendapat bayaran sejumlah RM118,000 elaun sara hidup bagi ladang Tanaman Semula Komersial (TSK) kelapa sawit.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Sapiah Mohd. Nor berkata setiap peserta akan mendapat bayaran sebanyak RM500 seorang untuk tempoh lima bulan.

Selepas ini, bayaran bulanan elaun sara hidup itu akan dibayar melalui akaun peserta sebanyak RM100 setiap bulan.

Tambah Sapiah, JAKOA juga akan memperoleh kelulusan pewartaan tanah seluas 769 hektar sebagai ladang bagi masyarakat orang asli di RPS Kuala Betis dalam masa terdekat.

Pihaknya sudah mendapat susun atur dan nombor pendaftaran warta bagi tanah terbabit.

"Jadi, program hari ini ialah elaun sara hidup bukan dividen dan sebagainya. Bila ada hasil nanti, kita akan lihat untuk kaji balik semula. Walaupun kita ada kaedah pemberian tapi kadar akan bergantung kepada harga pasaran semasa.

Kalau boleh kita akan persetujui satu jumlah supaya masyarakat di sini boleh mendapat manfaat daripada tanah mereka, untuk meningkatkan ekonomi. Selain itu,mereka bebas untuk buat kerja lain selain tumpuan daripada ladang ini," kata Sapiah kepada pemberita selepas Majlis Pengagihan Elaun Sara Hidup ladang Tanaman Semula Komersial (TSK) di Pejabat JAKOA RPS Kuala Betis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Risda Plantation Sdn. Bhd, Mohamad Arif Ismail dan Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan.

Sementara itu, peserta orang asli berkata pemberian elaun sara hidup itu dianggap sebagai rezeki apabila diagihkan ketika musim tengkujuh dan penduduk tidak dapat keluar bekerja mencari rezeki.

"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada JAKOA Malaysia dan JAKOA Kelantan terutamanya kakitangan JAKOA yang bersusah payah untuk melaksanakan tanggungjawab mereka supaya peserta dapat hasil yang begitu pada hari ini. Terima kasih," kata Ibrahim Marijah, Penghulu RPS Kuala Betis.

"Saya nak ucap terima kasih kepada Ketua Pengarah JAKOA kerana mengadakan elaun sara hidup kepada peserta RPS Kuala Betis. Kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana hari ini kita dapat RM500. Kita boleh beli keperluan musim tengkujuh ini seperti beras dan pemberian ini sangat membantu. Terima kasih kepada JAKOA kerana ambil perhatian kepada masyarakat," kata Razif Marijah, peserta TSK RPS Kuala Betis.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM