fb fb fb fb fb

219 kertas siasatan dibuka, lima individu ditahan atas pelbagai kesalahan pilihan raya

KUALA LUMPUR, 20 November - Sebanyak 219 kertas siasatan dibuka dan menahan lima individu iaitu empat di Negeri Sembilan dan seorang di Selangor atas pelbagai kesalahan pilihan raya dan pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.

Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali berkata dalam satu kenyataan berkata, di Negeri Sembilan tiga tangkapan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu masing-masing dua di Seremban dan satu di Port Dickson.

'Dalam kejadian di Seremban dua lelaki tempatan ditahan kerana membakar mercun di luar kawasan Dewan Orang Ramai Kelab Tuanku Mambau pada 7.45 malam manakala di Port Dickson seorang lelaki ditahan kerana turut membakar mercun di hadapan Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson.

"Satu lagi tangkapan di Seremban, Negeri Sembilan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26 (1) Akta Pilihan Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dan berada berhampiran kawasan pengiraan undi di Dewan Bandaraya Seremban," katanya.

(FOTO HIASAN)

Sementara itu, Hazani berkata seorang lelaki tempatan ditahan di Selangor kerana menimbulkan kekacauan dengan menjatuhkan peti undi dalam pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Yam Lama semasa proses pengundian berlangsung.

"Bagaimanapun, peti undi di saluran 3 berkenaan tidak mengalami sebarang kerosakan dan lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) (I) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Secara keseluruhan, Hazani yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman berkata sebanyak 501 kertas siasatan dibuka PDRM berkaitan kesalahan kempen dan hari mengundi PRU15 di seluruh negara bermula 4 November lepas hingga semalam.

Media Baharu