GEORGE TOWN, 18 Mei- Seramai 21 individu diberkas positif dadah di sebuah pusat hiburan di Jalan Burma, di sini, awal pagi tadi.
Kesemua mereka terdiri daripada 12 lelaki tempatan dan sembilan wanita warga asing berumur antara 20 hingga 35 tahun.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan bermula pukul 12.30 tengah malam itu dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
“Rata -rata mereka didapati positif dadah antaranya jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Kesemua wanita yang ditahan terdiri daripada warga Thailand dan China,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
(Foto fail)
Tambahnya, serbuan itu turut merampas 10 paket plastik berisi serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 275 gram.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.