
KUALA LUMPUR, 12 Januari – Seramai 21 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang disiasat, selepas dipercayai terlibat dalam budaya tidak bermoral.
- 21 anggota ATM sedang disiasat kerana dipercayai terlibat dalam budaya tidak bermoral.
- Kementerian dan ATM mengharamkan kegiatan tidak bersahsiah serta telah menetapkan peraturan ketat.
- Kejadian diklasifikasikan sebagai pelanggaran peraturan, bukan kegiatan meluas.
- Tindakan tegas termasuk prosiding undang-undang, hukuman dan penggantungan perkhidmatan jika disabitkan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan Kementerian Pertahanan dan ATM telah lama mengharamkan sebarang kegiatan tidak bersahsiah di semua kem tentera seluruh negara.
Beliau berkata peraturan serta garis panduan yang jelas dan tegas telah ditetapkan berkaitan semua aktiviti sosial yang dibenarkan di dalam kem.
“Mula-mula, jumlahnya dilaporkan 20, namun kini didapati sebanyak 21. Mereka sedang disiasat. Setelah siasatan selesai, beliau akan beralih ke proses perundangan dan berhak untuk membela diri.
“Sementara itu, larangan terhadap pengambilan minuman keras dan membawa tetamu yang bukan ahli keluarga di kem telah ditetapkan dalam peraturan.
“Oleh itu, kejadian yang berlaku dikategorikan sebagai pelanggaran peraturan dan bukannya satu kegiatan yang berlaku secara meluas,” katanya kepada media selepas selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2026 di Wisma Perwira di sini, hari ini.
Katanya, Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam salah laku moral yang mencemarkan imej dan reputasi ATM.
Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan sedia ada, termasuk hukuman serta penggantungan perkhidmatan jika disabitkan kesalahan.