2,000 asnaf di Selangor jadi mangsa keldai akaun

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari

KLANG, 11 Februari – Kira-kira 2,000 asnaf di Selangor dikesan menjadi mangsa keldai akaun selepas diperalatkan sindiket penipuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket manfaatkan asnaf terdesak dan kurang literasi kewangan untuk jadikan mereka keldai akaun.
  • Mangsa diminta serahkan MyKad, kad ATM dan maklumat perbankan sebelum dimanipulasi.
  • Akaun disenarai hitam menyukarkan penyaluran bantuan melalui bank, walaupun asnaf masih layak zakat.
  • Lembaga Zakat kerjasama dengan institusi kewangan untuk tingkatkan literasi dan kesedaran tentang modus operandi sindiket.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari berkata, sindiket terbabit dipercayai mengambil kesempatan terhadap golongan asnaf yang terdesak serta kurang pendedahan berkaitan literasi kewangan.

Menurut beliau, kebanyakan mangsa tidak menyedari mereka dimanipulasi selepas diminta menyerahkan MyKad untuk membuka akaun bank sebelum kad ATM dan maklumat perbankan diserahkan kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Ramai yang tidak tahu mereka menjadi keldai akaun. Kita hanya sedar apabila menerima notifikasi daripada pihak bank bahawa pembayaran tidak dapat dibuat kerana akaun telah disenarai hitam.

“Apabila kita semak, ramai dalam kalangan asnaf kita terlibat. Mungkin mereka melihatnya sebagai peluang untuk mendapatkan wang, namun apabila akaun disenarai hitam, sukar untuk kita menyalurkan bantuan melalui bank,” katanya.

Beliau berkata, walaupun akaun mangsa disenarai hitam, mereka tetap layak menerima bantuan zakat.

“Dalam Islam, walaupun mereka berdepan isu ini, mereka masih asnaf dan layak menerima zakat. Menjadi tanggungjawab kita untuk terus membantu dan menyantuni mereka,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Lembaga Zakat Selangor kini bekerjasama dengan institusi kewangan bagi memperkukuh literasi kewangan dalam kalangan asnaf serta meningkatkan kesedaran mengenai modus operandi sindiket penipuan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program simbolik agihan bantuan Ramadan dan Syawal 2026 di sini.