KUALA MUDA, 27 Disember- Kejadian ombak besar tsunami yang turut melanda Kuala Muda Kedah terus diingati oleh penduduk tempatan.
Memperingati kejadian itu, lebih 200 orang hadir pada majlis memperingati tragedi yang berlaku dengan program bacaan Yasin.
Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari hadir mengetuai majlis dan turut mengimamkan solat Maghrib.
Majlis Sambutan 20 tahun Memperingati Tragedi Tsunami Lautan Hindi 2004 pada 26 Disember 2024 dipenuhi dengan program kerohanian iaitu ceramah khas dan kenduri rakyat.
Program tahunan itu merupakan anjuran bersama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah KEDA, Pejabat Tanah dan Daerah Sungai Petani dan Pengurusan Dataran Tsunami.
Dalam kejadian ombak besar pada 2004 itu, 12 penduduk terkorban termasuk ada yang meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital.
Mangsa yang dipindahkan ketika itu seramai 4,278 orang dan rumah yang rosak adalah sebanyak 87 buah, sementara jumlah perahu nelayan yang rosak ialah 309 buah, serta sebanyak 173 kereta turut musnah.